Translate

Sejarah SSNS SMK Za'ba



Pengetua pertama, Tan Sri Chan Chong Tak

Sekolah ini dibuka pada 1 April 1962 dan dikenali dengan nama Sekolah Pelajaran Lanjutan Kuala Pilah. Pada awal penubuhannya, sekolah ini menempatkan pelajar-pelajar yang gagal dalam peperiksaan darjah 6.  Ketika itu pelajar-pelajar sekolah rendah diwajibkan menduduki peperiksaan darjah 6 untuk melayakkan diri naik ke tingkatan 1. Tujuan utama penubuhan sekolah ini adalah untuk membolehkan pelajar-pelajar yang tercicir mendapatkan kemahiran asas seperti vokasional, pertukangan dan kerja tangan. Pelajar-pelajar yang datang dari sekitar pekan Kuala Pilah ini perlu menamatkan kursus dalam masa 3 tahun . Sekolah lanjutan ini diteruskan sehingga 31 Disember 1964. 


SMZ, 1973
Gambar: Ehsan Pn. Rosnah Md. Said
Pada 1 Januari 1965, fungsi sekolah ini telah berubah menjadi sekolah yang menawarkan aneka jurusan. Peperiksaan Darjah 6 dimansuhkan dan para pelajar dari sekolah rendah akan mendapat tempat di sekolah ini secara auto,atik. Justeru, nama sekolah ini ditukarkan kepada Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Kuala Pilah. Pelajar-pelajarnya datang dari sekolah rendah yang berhampiran. Ketika itu, sekolah ini terdiri daripada bangunan pentadbiran, kantin, surau, satu blok bangunan kecil di tapak bangunan Kemahiran Hidup Bersepadu sekarang, blok tingkatan 1 dan 2, serta makmal sains. Pada tahun 1967, buat pertama kalinya pelajar-pelajar sekolah ini menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE). Pada 1 


Upacara perasmian Sekolah Menengah Za'ba oleh
En. Abdul Rahman bin Yaakub, Menteri Pelajaran Malaysia, 1969

Januari 1968 pula, nama sekolah ini ditukarkan sekali lagi kepada Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah dan mula menyediakan calon-calon untuk mnduduki Malaysia Certificate of Education (MCE). Untuk mewujudkan identiti bagi sekolah ini, maka Ahli Lembaga Pengelola Sekolah telah memilih nama seorang tokoh bahasa yang juga nasionalis Melayu yang terkenal di Nusantara yang berasal dari Kuala Pilah iaitu Pendeta Za’ba. Dengan persetujuan itu, maka perasmian dan pengisytiharan nama Sekolah Menengah  Za’ba telah dilakukan pada 15 September 1969 dan dirasmikan oleh En. Abdul Rahman Yaakub, Menteri Pendidikan Malaysia pada masa itu. Pada tahun 1990, Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba telah menerima pelajar aliran agama, iaitu pelajar yang terpilih dari seluruh Negeri Sembilan yang telah berjaya dalam peperiksaan UPSR. Seramai 92 orang pelajar (48 perempuan dan 44 lelaki) telah berjaya dipilih sebagai pelajar perintis aliran agama sekolah ini. Pelajar-pelajar ini telah mengambil peperiksaan SRP pada tahun 1992. 

Aliran Pengajian Islam telah diperkenalkan kepada pelajar-pelajar tingkatan 4 pada tahun 1993. Seramai 38 pelajar telah mengambil peperiksaan SPM Pengajian Agama Islam pada 1994. Pada tahun tersebut juga, seramai 117 orang calon sekolah ini telah menduduki SPM dan berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dan meningkatkan prestasi sekolah. Pada tahun 2008, sekali lagi SMK Za’ba berubah identiti. Pengambilan pelajar aliran agama digantikan dengan pelajar sukan. Seramai 80 orang pelajar yang berbakat dalam bidang sukan dipilih untuk memasuki sekolah khas ini. Pada peringkat ini, pengambilan bermula dengan pelajar Tingkatan 1 dan pelajar sedia ada yang berpotensi dalam bidang sukan meneruskan pembelajaran masing-masing dalam aliran biasa ataupun aliran agama. Program rintis sekolah sukan mendapat pengiktirafan secara rasmi daripada Kementerian Pelajaran Malaysia pada 18 Ogos 2008. 

Pada tahun 2009, secara rasminya sekolah ini telah bertukar nama sekali lagi menjadi Sekolah Sukan Negeri  Sembilan (SSNS) SMK Za’ba, selepas dinaiktaraf sebagai Sekolah Sukan Negeri. Pada tahun ini juga, bilangan keseluruhan pelajar sukan bertambah menjadi 100 orang dengan kemasukan pelajar kohort kedua.  Sebagai sekolah sukan, sekolah ini memberi fokus kepada dua bidang sukan yang utama iaitu sukan teras dan sukan pilihan. Sukan teras yang ditawarkan ialah olahraga, bola sepak, sepak takraw, memanah, bola jaring, badminton dan kriket. Manakala bagi sukan pilihan pula ialah ragbi, bola baling dan kriket. 


Sekolah Sukan Negeri Sembilan
SMK Za'ba, Kuala Pilah
Sekolah Sukan Negeri Sembilan SMK Za’ba akan menjadi sekolah sukan berasrama sepenuhnya pada masa akan datang. Kelengkapan sukan bertaraf dunia juga dijangka siap untuk kemudahan para jurulatih dan atlet.  Sukan yang ditawarkan di sini juga telah disusun semula berdasarkan Sukan Berprestasi Tinggi Sekolah (SPTS). SPTS yang ditawarkan di sini ialah bola sepak, olahraga, sepak takraw, memanah, hoki dan bola jaring. Sekolah Sukan Negeri Sembilan SMK Za’ba akan menempatkan pelajar-pelajar sukan sepenuhnya demi melahirkan atlet terbilang yang menjadi kebanggaan sekolah, daerah Kuala Pilah, dan Negeri Sembilan khususnya.